20 Cara Buang Sifat Perasaan Pemalu dan Pendiam

Posted by

20 Cara Buang Sifat Perasaan Pemalu dan Pendiam di kalangan pelajar sekolah atau pelajar universiti

1. Beranikan diri

Beranikan diri anda untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja. Setkan minda anda untuk berani melakukan apa sahaja, berani berhadapan dengan sesiapa sahaja. Pedulikan kata-kata orang lain tentang anda ketika berhadapan dengan sesiapa sahaja. Untuk membuatkan orang lain hormat anda, anda hendaklah berani. Ini kerana orang pendiam dan pemalu ini mempunyai sifat kurang keyakinan diri atau ada perasaan takut dalam diri. Jadi untuk buang perasaan itu, setkan minda anda untuk beranikan diri.

download.jpg

2. Aktifkan diri dalam bidang kokurikulum sekolah/universiti

Salah satu cara untuk menangani masalah pendiam dan pemalu ini adalah anda sertailah persatuan dan aktifkan diri dalam kokurikulum. Ini secara tidak langsung anda akan dilatih untuk berhadapan dengan orang ramai sedikit demi sedikit. Tidak kira sama ada anda memegang jawatan sebagai presiden atau ahli jawatankuasa sahaja, yang penting anda aktif ketika dalam persatuan.

Percayalah anda akan dilatih secara tidak langsung untuk berhadapan dengan orang, bercakap dihadapan orang, mengurus masalah orang, mengurus program dan sebagainya. Seperti contoh, ketika menguruskan sesuatu program yang melibatkan dengan semua pelajar, anda secara tidak langsung akan berinteraksi dengan semua orang yang terlibat dengan program. Lama kelamaan  anda akan menjadi biasa dan normal apabila bercakap di hadapan orang ramai. Jadi anda tidak rasa malu dengan berbuat demikian kerana anda telah dilatih secara tidak langsung. Anda telah pun berasa yakin bercakap dengan orang ramai.

3. Tonjolkan diri anda

Ketika dalam kumpulan, perbincangan atau yang melibatkan dengan orang ramai, anda tonjolkan diri anda. Seperti contoh, jika anda duduk dan melepak dengan kawan-kawan yang ramai, anda tonjolkan diri anda dengan banyakkan bercakap, bercerita, bergurau dan sebagainya. Jangan ikut sahaja kawan dan diam sahaja.

4. Banyakkan beriadah dengan rakan-rakan

Ini salah satu cara iaitu beriadah dengan rakan-rakan. Anda beriadahlah bersama-sama rakan-rakan anda terutama yang melibatkan dengan strategi seperti bola sepak, badminton, futsal, bola jaring, dan sebagainya. Ini secara tidak sengaja anda akan banyak bercakap dengan rakan-rakan anda ketika bermain. Seperti contoh, bermain futsal, anda akan bercakap dengan rakan anda untuk memikirkan apakah strategi yang sesuai untuk memenangi perlawanan futsal. Bayangkan jika tiap-tiap hari anda beriadah, sudah tentu anda akan menjadi banyak bercakap dan secara tidak langsung dapat menghilangkan sifat pendiam dan pemalu anda.

5. Banyakkan bersenam

Walaupun tips banyakkan bersenam ini macam tidak ada kena mengena, tetapi dari segi psikologi ia sebenarnya memberi kesan kepada sifat kita. Seperti contoh, jika kita bersenam di tasik atau mana-mana tempat, kita sebenarnya sudah berhadapan dengan semua masyarakat yang berada di luar. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kita supaya dapat menghilangkan sifat malu kita untuk berhadapan dengan masyarakat luar. Selain itu, ia juga mengelakkan diri anda daripada duduk keseorangan di bilik atau di rumah. Bersenam dan berjoginglah walapun keseorangan. Secara perseorangan lah anda boleh membuang sifat ini dengan berhadapan dengan orang ramai. Oleh itu, banyakkan bersenam dan anda akan dapat satu keyakinan dalam diri anda selain dapat menjaga kesihatan.

man-1245658_960_720.jpg

6. Selalu libatkan diri dalam aktiviti sosial

Banyakkan melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada kita. Aktiviti sosial ini termasuk dalam sekolah dan aktiviti kemasyarakatan. Seperti contoh, jika ada persatuan rukun tetangga atau persatuan di kawasan anda, anda jadilah sebahagian daripada mereka. Ini secara tidak langsung anda akan membuat aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong, pertandingan dan macam-macam lagi. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang membuatkan anda untuk bergaul dengan masyarakat dan orang luar secara tidak langsung dan sifat pemalu dan pendiam akan hilang dalam diri anda.

IMG-20160128-WA0052.jpg

7. Jadi ketua kumpulan

Jika anda terlibat dalam apa-apa program yang melibatkan dengan kumpulan, anda tawarkan lah diri anda untuk menjadi ketua kumpulan atau dalam kelas anda. Bukan bermaksud ingin berlagak tetapi anda ingin belajar supaya anda berasa yakin untuk bercakap dan belajar untuk memimpin dalam kumpulan anda. Ia juga satu kelebihan dan manfaat yang besar untuk anda jika anda menjadi ketua kumpulan walaupun menjadi ketua hanya satu hari sahaja. Bayangkan anda jadi ketua kelas, semasa mula-mula memanglah berasa malu dan kekok untuk bercakap dengan berhadapan kelas anda, tetapi lama-kelamaan anda akan hilang sifat pemalu dan pendiam dalam diri anda.  Ini akan menjadikan sifat pendiam dan pemalu anda akan hilang sedikit demi sedikit.

8. Jadikan diri anda seorang yang lain daripada yang lain

Jadikan diri anda lain daripada yang lain, ini secara tidak langsung pelajar atau orang ramai akan tahu apa kelebihan anda dan mereka pasti akan rujuk kepada anda jika anda ada kelebihan itu. Seperti contoh, di sekolah, anda hebat dalam subjek sains. Anda memang pakar dan sering mendapat A dalam subjek tersebut. Oleh itu, itu sudah menjadi satu kelebihan untuk anda. Pasti ramai pelajar lain akan pergi kepada anda untuk meminta anda mengajar subjek sains tersebut. Jadi dengan itu, hilanglah sifat pemalu dan pendiam anda kerana anda berinteraksi dengan mereka.

9. Banyakkan berbincang/berborak dengan ahli keluarga

Ini antara tips paling senang untuk diikuti iaitu banyakkan berbincang atau berborak bertanya khabar dengan ahli keluarga termasuk saudara-mara, ayah saudara, atuk nenek dan sebagainya. Dengan tips ini anda akan hilang sifat pendiam dalam diri anda. Kerana anda sudah pun dikatakan antara banyak bercakap dalam keluarga anda. Berbincang dengan ahli keluarga bermaksud bercakap tentang apa-apa sahaja.

10. Banyakkan bertanya atau berbincang kepada guru/pensyarah

Jika anda ada sifat pendiam dan pemalu ini, tentu anda tidak banyak bertanya, berjumpa dan berbincang dengan guru/pensyarah anda betul tak? Oleh itu, anda perlulah banyakkan berjumpa dan bertanya kepada guru anda jika anda tidak faham. Jika hendakkan kepastian jawapan berbincanglah dengan guru anda. Ini kerana kebanyakkan pelajar tidak mahu berjumpa dengan guru/pensyarah adalah kerana mereka takut dan berasa malu. Oleh itu, dengan selalu berjumpa dengan guru, anda akan hilang sifat pemalu anda. Guru dan pensyarah pun akan suka dengan sikap kamu yang tidak kenal putus asa untuk mendapatkan jawapan.

11. Amalkan bertegur-sapa

Amalkan sikap bertegur-sapa dengan sesiapa sahaja walaupun anda tidak kenal orang itu. Bertegur dengan berkata assalamualaikum kepada orang islam atau berkata hai kepada orang bukan islam, Rasulullah S.A.W pun ada bersabda bahawa “ Manusia yang paling dekat dengan Allah S.W.T adalah mereka yang memulakan member salam” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud). Lagi daripada hadis Rasulullah S.A.W bersabda “Kembangkanlah memberi salam diantara kamu” (hadis riwayat muslim daripada Abu Hurairah)

12. Buat ramai kawan

Buat ramai kawan sama ada di sekolah atau universiti/kolej dengan bertegur sapa dan kenal mereka. Ini supaya kita dapat rasa keyakinan untuk berhadapan dengan orang yang kita tidak kenal. Dan kita juga dapat tahu dan kenal perangai kawan-kawan kita.

13. Buat ibu bapa dan guru berasa bangga dengan anda

Buat ibu bapa dan guru bangga dengan anda untuk menjadi pelajar cemerlang dan menjadi anak yang berguna kepada semua masyarakat. Jika anda membuat sesuatu yang ibu bapa dan guru bangga dengan anda dan anda mendengar kata-kata pujian, maka kata-kata positif itu akan memberi satu sifat keyakinan dan keberanian untuk anda bergerak lebih ke hadapan lagi. Ini seterusnya anda tidak akan menjadi pemalu dan pendiam dalam kehidupan seharian.  

14. Buang sifat negatif

Buang sifat negatif dalam diri anda, sifat seorang pemalu dan pendiam ini sentiasa ada sifat ini dalam diri mereka seperti contoh “ boleh ke aku bercakap dengan orang ramai?”, “seganlah aku nak berjumpa dengan cikgu”, contoh seperti ini hendaklah anda buang dan anda sentiasalah berfikiran positif dalam hidup anda. Untuk menjadi seorang yang positif, anda banyakkanlah membaca buku tentang motivasi, menonton televisyen tentang motivasi, inspirasi, banyakkan bergaul dengan orang yang positif dan sebagainya. Jika anda bersikap positif, anda berasa yakin dalam hidup anda untuk berbuat apa sahaja dan anda tidak takut untuk menghadapi apa-apa jua rintangan dan halangan. Dengan itu, sikap pendiam dan pemalu tidak ada dalam diri anda.

15. Jadikan diri sendiri seorang yang hebat

Untuk tips ini, jadikan diri seorang yang hebat bermakna kelebihan yang anda ada anda perhebatkannya. Seperti contoh, anda pandai melukis, tetapi anda merasa malu ingin masuk pertandingan, malu untuk tunjukkan yang anda pandai melukis dan sebagainya. Sepatutnya, anda perhebatkan kelebihan anda itu. Anda patut bersyukur dengan kelebihan anda yang ada dan hebatkannya. Insya-Allah, sifat pemalu dan pendiam akan tiada dalam diri anda.

16. Ubah mentaliti anda

Ubah mentaliti yang anda adalah seorang yang hebat, seorang juara dan seorang yang berani. Sebenarnya itulah diri anda yang sebenarnya dan tiada kekurangan tentang anda. Allah S.W.T.juga telah berfirman dalam surah At-Tin ayat ke-4 yang bermaksud “Sesungguhnya manusia diciptakan sebaik-baik kejadian”.

Oleh itu, manusia telah diciptakan sempurna hanya anda sahaja yang berfikir negatif untuk jadi pemalu dan pendiam. Anda sama sahaja dengan orang lain, hanya dalam fikiran anda sahaja yang berkata begitu. Oleh itu, ubahlah diri anda bahawa anda sememangnya seorang yang sangat hebat, sangat berani dan merupakan seorang juara.

17. Pedulikan kata-kata negatif orang lain

Selalunya orang yang pemalu, dia sering akan terfikir apa yang orang akan kata tentang dia. Contohnya, apabila disuruh bercakap dengan orang ramai, dia akan berfikir “kalau aku bercakap kat depan orang mesti ejek aku, orang mesti kutuk aku, orang mesti…(semua benda negatif) kat aku”.

Oleh itu, pedulikan sahaja kata-kata orang ini, sebenarnya jika anda berani, orang akan hormat dengan anda orang akan suka anda. Apa akan jadi jika anda segan-segan atau malu-malu, orang mesti cakap yang bukan-bukan tentang diri anda bukan, pedulikan sahaja kata-kata mereka dan fokus dengan apa yang anda buat.

18. Ubah tanggapan negatif orang lain

Jika anda sering mendengar kata-kata negatif daripada orang lain, anda ubahlah tanggapan mereka. Seperti contoh, anda mendengar kata-kata seperti,

“alah, dia ni boleh ke jadi ketua” “alah, dia ni bukan bagus pun”  “teruknya dia ini pemalu sangat!!” “Dia ini pendiam”.

Ubahlah tanggapan mereka dengan membuktikan sesuatu yang hebat kepada mereka, membuktikan sesuatu yang luar biasa kepada mereka. Sehingga mereka akan berkata “biar betul dia ini” “tak sangka dia ini boleh..(perkara-perkara baik)”. Jika ingin buat sesuatu yang hebat, gunakan kelebihan yang anda ada untuk mengubah tanggapan mereka bahawa itu bukanlah diri anda.

19. Sentiasa bersikap positif

Selalunya orang yang memiliki sifat ini selalu berfikiran negatif. Seperti contoh, “apa akan jadi jika orang lain cakap tentang aku”  “apa akan jadi jika aku buat”. Oleh itu, anda mestilah sentiasa bersikap positif dalam diri anda. Untuk sentiasa bersikap positif, seperti tips yang ke empat belas, anda mestilah banyakkan bergaul dengan orang yang positif, banyakkan membaca tentang motivasi, inspirasi dan sebagainya. Kuatkan diri anda untuk menepis segala kata-kata negatif orang lain. Sentiasa positif dalam diri anda dan ianya memberi banyak manfaat kepada diri anda.

images.jpg

20. Berdoa

Berdoa adalah senjata utama umat Islam. Berdoalah kepada Allah SWT yang anda ingin berubah untuk menjadi seorang yang berani, seorang yang kuat, seorang yang hebat dan seorang yang juara. Buang sifat pemalu dan pendiam dalam diri anda untuk menjadi seorang yang hebat, seorang yang berguna bukan sahaja manfaat untuk diri sendiri tetapi manfaat kepada ibu-bapa, dan masyarakat sekeliling. Banyakkan bersyukur dengan kelebihan yang kita ada dan Insya-Allah semoga kita menjadi orang hebat, orang yang baik dan memberi manfaat kepada semua manusia.

ini-adab-adab-saat-berdoa-170719l.jpg

Leave a Reply