8 Ciri-ciri Memilih Lokasi Dan Tempat Untuk Buka Pusat Tuisyen

8 FAKTOR MEMILIH LOKASI DAN TEMPAT UNTUK BUKA BISNES PUSAT TUISYEN

Antara yang paling penting sesuatu pusat tuisyen tersebut maju dan mendapat pelajar yang ramai adalah FAKTOR LOKASI. Jadi lokasi yang sesuai amatlah penting kita kaji sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan untuk membuka pusat tuisyen di tempat tersebut.

WhatsApp Image 2018-09-26 at 17.33.27

Sebelum kita membuat keputusan, kita mestilah tahu apakah ciri-ciri lokasi yang sesuai sebelum membuka bisnes pusat tuisyen. Antara CIRI-CIRI yang sesuai adalah :-

1) Premis berada di kawasan taman perumahan

Premis berada di kawasan taman perumahan, sekiranya premis tersebut berada di tengah-tengah kawasan perumahan lagi bagus. Ia satu bonus untuk anda dan jangan lepaskan peluang! Ini adalah kerana ibu bapa mudah dan dekat untuk menghantar anak-anaknya ke pusat tuisyen. Satu benda yang pertama ibu bapa akan lihat pada risalah (flyers/phamplet) pusat tuisyen adalah untuk mengetahui  samada dekat atau tidak pusat tuisyen tersebut dengan rumahnya.

TIPS : Taman perumahan yang baru dibuka adalah sangat terbaik kerana anda boleh jadikan pusat tuisyen anda yang pertama atau terkenal di kawasan anda

 

2) Premis berada di bersebelahan atau jiran dengan kedai serbaneka/runcit

Ini adalah kerana penduduk di kawasan tersebut akan selalu ulang-alik membeli barang-barang penting ke kedai serbaneka/runcit tersebut (contoh : speedmart, 7eleven, Kedai pasar mini dan sebagainya). Ia juga boleh dijadikan sebagai marketing kepada pusat tuisyen anda dan pusat tuisyen anda akan mudah dan kerap dilawati oleh ibu bapa kerana sering mendapat tumpuan oleh mereka.

TIPS : Pilih pusat tuisyen anda berada pada tingkat atas dengan kedai runcit

 

3) Premis berdekatan dengan kawasan sekolah

Sekiranya berdekatan dengan sekolah, ia akan menjadi tumpuan oleh ibu bapa dan pelajar dan mudah untuk mereka melawat dan pergi ke pusat tuisyen anda untuk bertanyakan tentang pusat tuisyen. Sekolah antara institusi terpenting atau sebagai institusi pertama dalam bidang pendidikan. Pusat tuisyen ibaratkan sebagai institusi kedua oleh mereka. Jadi tidak hairanlah, ia menjadi potensi kepada pusat tuisyen anda sekiranya berdekatan dengan sekolah.

TIPS TAMBAHAN : Menurut kajian yang dibuat oleh sebuah institut pendidikan swasta, untuk membuka premis mestilah sekurang-kurangnya dalam radius 3 km dari sekolah

sekolah.jpg

4) Kurang pesaing

Untuk memilih lokasi pusat tuisyen, seeloknya pastikan sekurang-kurangnya ada sebuah pusat tuisyen berdekatan dengan anda kerana ia menunjukkan potensi pelajar dan ibu bapa ada di kawasan tersebut. Ia juga memberikan banyak pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftar di pusat tuisyen. Anda juga boleh mengetahui sedikit sebanyak tentang pesaing anda. ( Tetapi ingat, pusat tuisyen masing-masing perlulah bersaing secara sihat!). Sekiranya tiada pusat tuisyen, pastikan anda  mengikut ciri-ciri yang sesuai sebelum membuka pusat tuisyen.

Persaingan adalah perkara biasa dalam perniagaan. Dalam perniagaan pusat tuisyen, persaingan adalah sangat kecil kerana ia berada di kawasan tertentu sahaja. Dengan adanya persaingan juga ia akan memberi anda semangat dan motivasi untuk memajukan lagi dan merancakkan lagi pusat tuisyen anda di kawasan tersebut.

TIPS : Pilih premis yang kawasan sekitar rumah kedai ada 1 pusat tuisyen dikawasan anda

5) Kawasan sekitar premis

Premis yang dipilih mestilah mudah dilihat dan sering dilalui oleh orang ramai. Ini kerana ia akan mudah menjadi tumpuan orang ramai untuk melawat dan bertanyakan tentang pusat tuisyen anda. Premis yang dipilih juga mestilah berada di kawasan yang sibuk agar mudah mendapat tumpuan. Sekiranya premis anda menghadap atau bertentangan dengan jalan besar/jalan utama itu adalah yang terbaik untuk anda pilih dan jangan lepaskan peluang.

TIPS : Pastikan anda memilih premis laluan yang sangat mudah untuk ibu bapa menghantar). Contoh, ada premis yang ibu bapa susah untuk menghantar kerana parking yang sentiasa penuh, double parking, laluan ditutup kerana ada pesta,restoran dan lain-lain, laluan sehala, jalan mati elakkan!!

6) Elakkan memilih di kawasan yang bising dan berbahaya

Ini adalah kerana sekiranya memilih berdekatan dengan bengkel motor/kereta, ia akan mengganggu pelajar ketika belajar dan mendatangkan ketidakselesaan kepada pelajar. Selain itu, ia akan mendatangkan bahaya kepada pelajar kerana berdekatan dengan bengkel kereta, minyak, benda-benda bahaya lain dan sebagainya. Oleh itu, elakkan memilih dikawasan ini. Kawasan yang berada berdekatan dengan kedai yang baru direnovate atau diubahsai juga elakkan.

TIPS TAMBAHAN :Antara contoh premis yang tidak sesuai dipilih adalah berdekatan dengan bengkel kereta/motor, kedai baru ubahsuai, kawasan kontraktor, dan lain-lain tempat bising dan bahaya

7) Keadaan premis

Premis yang sesuai dibuka adalan premis yang dalam keadaan baik, luas, selesa dan boleh buka sekitar 4 atau 5 kelas dalam satu masa. Anda boleh meminta kepada tuan premis (sekiranya menyewa) untuk masuk dan mengetahui berapa luas didalamnya. Pastikan juga semak keadaan premis seperti keadaan tandas, siling, dinding, pintu depan, dan lain-lain. Ini supaya pelajar yang hadir akan berasa selesa di  tempat pusat tuisyen anda. Pastikan juga semak kemudahan yang ada di premis seperti meter elektrik dan meter air sekiranya tidak ia bakal menyusahkan anda sekiranya ambil remeh perkara tersebut. Ia juga bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan salah faham antara penyewa dan tuan penyewa kelak.

TIPS TAMBAHAN :Premis yang sesuai adalah premis tingkat satu kerana mudah dilihat, selesa dari kesibukan orang ramai dan kos yang rendah

8) Tuan premis (sekiranya anda menyewa)

Satu perkara yang anda perlu pertimbangkan sebelum membuat perjanjian sewa premis adalah tuan kedai. Sebaik-baiknya anda binalah hubungan yang baik dengan tuan premis seperti selalu bertanya khabar, bayar duit dewa tepat pada masa, meminta kebenaran sekiranya ingin mengubah atau membuat sesuatu pada premis dan sebagainya. Ia memastikan agar urusan perniagaan pusat tuiseyn anda berjalan lancar. Bayangkan sekiranya anda tidak membina hubungan yang baik dengan tuan premis, pusat tuisyen sudah maju tetapi bayar sewa yang lambat, mengubah sesuka hati pada premis. Silap-silap tuan kedai akan mengarahkan supaya tutup disebabkan tidak pusa hati, perselisihan faham dan sebagainya. Oleh itu, binalah hubungan yang baik dengan tuan kedai tidak kira agama dan bangsa.

TIPS TAMBAHAN : Pastikan duit sewa dibayar pada awal bulan dalam 1hb sehingga 4hb setiap bulan

Itulah 8 ciri-ciri yang sesuai untuk memilih lokasi pusat tuisyen. Memilih lokasi pusat tuisyen yang strategik dan menjadi tumpuan orang ramai sangat lah penting agar pusat tuisyen anda maju dan terus berjaya.

Sekarang sekiranya anda sudah memilih lokasi pusat tuisyen yang sesuai mengikut ciri-ciri di atas. Pilih sekurang-sekurangnya 2 pilihan yang sangat terbaik untuk memilih pusat tuisyen. Sekiranya sudah buat 2 pilihan yang terbaik, langkah seterusnya adalah Pergi ke lawatan sekitar premis pada waktu malam sekitar jam 8 malam sehingga 9 malam kerana kelas biasanya akan buka pada waktu malam. Tujuannya :-

  1. Lihat sekitar bakal premis sekiranya ramai orang lalu di kawasan tersebut. Ini adalah penting supaya anda mengetahui samada ia bakal menjadi tumpuan orang ramai atau tidak
  2. Lihat kawasan tersebut samada sibuk dan menjadi tumpuan atau tidak. Elakkan memilih kawasan yang sunyi dan sering ada binatang liar di kawasan tersebut.
  3. Buat kajian berapa ramai ibu bapa dan umur pelajar antara 7 tahun sehingga 17 tahun yang sering masuk di kedai runcit atau berada di kawasan tersebut antara jam 8 malam sehingga 9 malam. Sekiranya kajian anda bahawa pelajar universiti atau orang asing lebih ramai daripada ibu bapa atau pelajar. Elakkan buka di kawasan tersebut.
  4. Lihat dan tinjau di kawasan perumahan dan buat anggaran berapa penduduk kategori ibu bapa dan pelajar yang duduk di kawasan tersebut.

Sekiranya anda sudah berpuas hati, barulah anda membuat keputusan untuk membuka pusat tuisyen di kawasan tersebut. Memilih lokasi pusat tuisyen yang sangat starategik adalah sangat penting untuk menjadikan pusat tuisyen anda maju dan memiliki ramai pelajar.

Untuk tahu bagaimana nak daftar dan buka bisnes pusat tuisyen dengan Kementerian Pendidikan Malaysia,

Baca : Langkah-langkah Mendaftarkan Bisnes Pusat Tuisyen di Malaysia