8 Tips Sebelum Berucap di Khalayak Ramai

Posted by

fadzli-yusof

Artikel ini dikongsikan oleh Ahmad Fadzli Yusof, seorang pakar motivasi terkemuka NLP. Boleh rujuk di laman web NLP kendalian beliau https://www.nlpmalaysia.net/. 

Kemahiran memberi ucapan bukanlah kemahiran eksklusif untuk mereka yang berjawatan atau penceramah sahaja. Semua orang memiliki kemahiran ini. Jikalau anda perlu memberikan ucapan, apakah antara persediaan yang perlu dilakukan?


1. Nilai ‘Status Quo’

Buat analisis status anda sebagai penceramah. Mengapa anda diminta untuk berucap? Adakah kerana anda pemenang anugerah, penceramah, wakil rombongan atau sebagainya? Ataupun kerana status-status lain? Fikirkan tanggapan dan harapan pendengar terhadap anda. Dengan itu, anda dapat menunjukkan aksi yang sewajarnya semasa di atas pentas. 

2. Kenal pasti majlis dan audiens

Apakah matlamat majlis? Siapa penganjurnya? Di mana? Jam berapa? Suasana yang bagaimana? Siapa yang menjadi audiens? Apakah latar belakang pendidikan mereka? Apakah status sosial mereka? Adakah mereka dipaksa berkumpul? Kumpul sebanyak mungkin maklumat. 

3. Buat sasaran atas pendengar

Apakah yang anda mahu para audiens lakukan setelah mendengar ucapan anda? Kenal pasti dengan jelas dan terperinci. Kemudian, tentukan apakah ‘buah tangan’ yang perlu anda berikan kepada mereka untuk mencapai sasaran tersebut.

10-honest-completely-helpful-tips-hitting-public-speaking-homerun.jpg

4. Rancang humor yang sesuai

Elakkan jenaka yang keterlaluan sensitif atau menyentuh perasaan orang lain. Ambil kira latar belakang majlis dan audiens yang hadir, dan sesuaikan humor anda. Anda boleh berhumor secara spontan, tetapi risikonya terlalu tinggi. Jika anda bukannya seorang profesional, kemungkinan untuk ‘tergelincir’ adalah besar. Oleh itu, persiapkanlah dahulu humor anda. 

5. Fikirkan pengalaman dan kisah menarik

Cara ini akan ‘menarik dan memanjangkan’ tumpuan para pendengar. Fikirkan kisah atau pengalaman yang relevan dengan topik. Olah cerita agar menjadi menarik dan boleh difahami. 

6. Teks dalam bentuk mudah

Teks ucapan sepatutnya tidak berjela-jela seperti sebuah karangan. Tuliskan dalam bentuk isi-isi utama. Masukkan fakta-fakta yang penting. Tulis di atas kad yang bersaiz tapak tangan supaya mudah dipegang. Berlatih untuk ‘membaca’ kad tersebut dan menukarkannya kepada bentuk ucapan. Pada peringkat awal mungkin agak sukar, tetapi alah bisa tegal biasa. 

7. Berlatih

Berdiri di hadapan cermin dan berucaplah sepertimana yang anda rancang. Jangan hanya ‘bermain’main’ di dalam fikiran sahaja. Sebut dan ucapkan apa yang anda hendak ucapkan. Ingat, tiada ucapan yang baik tanpa latihan. Berlatih, berlatih dan berlatih! 

8. Bina imaginasi hebat

Bayangkan anda sedang berada di hadapan para pendengar yang begitu khusyuk mendengar. Apabila anda berjenaka; mereka ketawa, apabila anda menerangkan sesuatu; mereka tekun dan bersungguh-sungguh, apabila anda bercerita; berseri-seri wajah mereka mendengarnya. Sebaik selesai ucapan, semua bertepuk tangan dan menunjukkan air muka yang cukup puas. Sebelum menjadi kenyataan, bayangkan dahulu.

Ucapan boleh menjadi instrumen dakwah yang sangat berkesan. Jadi, pastikan setiap ucapan kita membawa pendengar kepada Allah dan cara hidup Islam. Selamat memberikan ucapan yang mengusik minda dan menusuk kalbu!

Sumber : Majalah Solusi, No.64, M/s 108

 

 

Leave a Reply