Bumi Sfera Atau Rata? Apa Kata Dr Kassim Bahali dan Datuk Dr Danial Zainal Abidin Tentang Bentuk Bumi

Posted by

Kini kecoh dengan cerita tentang SS atau dalam nama Facebooknya Mosus tentang beliau menyuruh ahli angkasawan negara iaitu Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersumpah bahawa bumi adalah sfera dan bukan rata.

Diruangan komen facebook SS pula rata-rata masih lagi ada yang mengatakan bahawa bumi ini adalah rata. Mereka turut mendakwa Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berada di bumi, manakala penghujung bumi terdapat tembok ais yang tinggi. Kumpulan Bumi Rata juga mendakwa perjuangan mereka mendapat perhatian dan mempunyai pengikut lebih daripada 10,000 individu di laman facebook. 

Artikel kali ini berkongsi tentang penjelasan oleh Dr Kassim Bahali, Timbalan Yang Dipertua Falak Syarie Malaysia (PFSM) dan Datuk Dr Danial Zainal Abidin untuk menangkis segala hujah yang dikemukakan oleh kumpulan Bumi Rata ini. Kewujudan golongan yang cuba mendoktrin pemikiran dengan mengatakan bumi itu rata wajar disangkal kerana pandangan nyata membuktikan bumi berbentuk sfera atau glob. 

dr kassim.jpg
Gambar : Majalah Infiniti

Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia (PFSM), Dr Kassim Bahali berkata bumi berbentuk rata ialah kepercayaan yang dianuti zaman Greek purba pada abad sebelum masihi. Katanya kepercayaan itu juga ada pada zaman India purba iaitu empayar Gupta pada 320 hingga 550 masihi dan tamadun China hingga abad ke-17. 

Bagaimanapun katanya, pada zaman moden ini masih ada yang percaya yang bumi itu rata, bukannya sfera. Menurutnya, kumpulan dengan nama Pertubuhan Bumi Leper itu menyebarkan fahaman melalui media sosial,seperti Facebook, blog termasuk video. 

“Fahaman ini memang telah lama wujud tetapi penemuan bukti bumi sfera, fahaman itu tidak lagi diterima. Bagaimanapun, masih ada yang berpegang dengan fahaman itu. Mereka golongan minoriti. Dengan adanya teknologi internet, penyebaran hujah mereka lebih pantas,. Ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.” katanya. 

Menurutnya, Samuel Senton menubuhkannya pada 1956 hinga 1971 di Dover, United Kingdom dan diteruskan oleh Charles K Johnson hingga 2001. Katanya, pertubuhan itu kemudiannya diketuai Daniel Senton dari London dan berpangkalan di Hong Kong hingga kini. 

“Pelbagai hujah dibuat golongan ini antaranya jika bumi berputar pada paksinya kapal terbang yang bergerak sama arah dengan putaran bumi tidak sampai ke destinasi yang dituju kerana putaran bumi ialah 800 km/j.”

 

“Mereka juga mendakwa jika bumi berbentuk sfera, helikopter tidak perlu terbang ke destinasi tetapi hanya perlu terapung di tempat sama dan akan sampai ke destinasi yang dituju kerana bumi berputar pada paksinya,” Katanya. 

Menurut Kassim, hujah-hujah yang disampaikan oleh golongan itu boleh disangkal dengan bukti yang dapat dilihat secara nyata antaranya fenomena gerhana bulan. Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada antara matahari dengan bulan ketika bulan dalam fasa purnama. Bayangan bumi terbentuk pada permukaan bulan dan menyebabkan bulan gelap sedikit demi sedikit sehingga gelap sepenuhnya. 

Bumi yang terbentuk pada permukaan bulan berbentuk melengkung. Ini membuktikan bumi itu sfera dan jika bumi rata, bayang-bayang tidak melengkung.

Selain dari itu, imej bumi dari angkasa lepas ialah bukti yang jelas bahawa bumi berbentuk sfera. Gambar yang dirakam dari stesen makmal angkasa lepas yang sentiasa mengorbit bumi pada ketinggian 300 kilometer dari permukaan bumi menunjukkan kelengkungan permukaan bumi. Dengan bukti yang nyata ini dapat dilihat pada setiap hari dan bukti saintifik yang dikemukakan oleh ahli sains, seperti pusat graviti, zon masa serta siang dan malam, hipotesis yang menyatakan bumi ini rata dapat disangkal. 
Bukti bumi ini sfera lebih meyakinkan dan dapat diterima oleh ramai orang. 

ceramah-mp3-dr-danial-zainal-abidin.jpgPendakwah yang juga penulis buku Quran Saintifik, Datuk Dr. Danial Zainal Abidin telah mengemukakan beberapa hujah yang dikupas berdasarkan Al-Quran bagi membuktikan bumi ini sfera. Beliau menyatakan bahawa salah satu kalimat penting yang digunakan dalam Al-Quran bagi menunjukkan bahawa bumi dan cakerawala di angkasa raya adalah bulat ialah falak.

Sebagai contoh, di dalam surah Al-Anbiya ayat 33 : Allah berfirman, “Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Kesemuanya beredar di dalam falaknya.”

“Ayat ini menjelaskan, malam, siang, matahari dan bulan, beredar dalam falaknya. masing-masing mengikut apa yang ditetapkan Allah. Mengikut kamus Hans Wehr : A Dictionary Of Modern Writing Arabic, falak pada asalnya bermaksud bulat. Justeru sahabat Abdullah ibn Abbas berpendapat, cakerawala di langit “beredar dalam bulatan sebagaimana beredarnya rahat ketika menggulung benang.” 

Hal ini telah disebutkan dalam Al-Quran Al-Azim karangan Imam Ibn Kathir. Mengikut Kamus Dewan, rahat ialah satu alat bulat seumpama roda yang digunakan untuk menggulung benang. Seperkara yang menarik berhubung dengan ayat ini ialah, Allah menyatakan, malam dan siang juga beredar dalam falaknya seperti matahari dan bulan. Ini menunjukkan, seperti matahari dan bulan, perubahan malam dan siang juga berlaku dalam bentuk bulatan. 

Hal ini tidak mungkin berlaku melainkan jika bumi adalah bulat kerana malam dan siang adalah fenomena yang berlaku di muka bumi. 

Dr Zainal juga memaklumkan bahawa berdasarkan ini, Syeikh Said Hawa dalam Al-Asas Fit Tafsir berkata, “Ayat ini menunjukkan bahawa bumi ini adalah bulat dan al-Quran menjelaskan tentang hal ini sebelum teori kebulatan bumi menjadi satu hakikat yang dipegang umum. Inilah satu antara banyak mukjizat yang terdapat dalam al-Quran. Katanya, sebenarnya pendirian bahawa bumi adalah bulat adalah merupakan satu pendirian yang disepakati oleh tokoh-tokoh Islam diperingkat awal Islam. Hal ini disebutkan oleh Imam Ibn Taimiyah dalam kitab beliau Majmuul Fatawa, jilid keenam. “Beliau mengatakan, kesemua cakerawala termasuk bumi adalah bulat dan ia merupakan pendirian ulama seperti AbulHasan ibn Al-Manaadi, Abu Muhammad ibn Hazm, Abul-Faraj ibn Al-Jawzi dan ramai lagi. Pegangan ini adalah berdasarkan kalimat falak di dalam bahasa Arab yang bermaksud bulat.”

Disamping itu, kalimah falak satu lagi yang digunakan al-Quran menunjukkan bahawa bumi ini adalah bulat ialah kawwara. Dalam surah az-Zumar ayat 5: Allah berfirman ,” Dia yang mencipta langit dan bumi dengan kebenaran. Dijadikannya malam memasuki siang dan siang memasuki malam dan dipermudahkan matahari dan bulan.’ Masing-masing beredar mengikut masa yang ditetapkan. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,” 

Bahkan ketika menceritakan tentang malam memasuki siang dan siang memasuki malam Allah menggunakan kalimat yukawwiru. Yukawwiru berasal daripada kalimat kawwara dan kawwara ialah perbuatan yang melibatkan sesuatu yang bulat seperti bola. Antara contoh yang diberikan Imam Nasafi berhubung penggunaan kalimat ini ialah perbuatan melilitkan kain serban di atas kepala. Perbuatan melilitkan kain mengelilingi kepala yang bulat diistilahkan sebagai kawwara. Hal ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. 

Justeru menurutnya, berdasarkan kalimat kawwara, malam dan siang mengelilingi bumi sebagaimana serban melilit kepala. Ia menunjukkan bumi adalah bulat seperti kepala manusia. Dalam Hans Wer : A Dictionary Of Modern Written Arabic oleh J. Milton Cowan, kawwara diertikan sebagai “To roll, roll up, roll into a ball, to wind (the turban), to make round, ball-shaped” yang bermaksud “melipat, melipat dalam bentuk bola, melilitkan (serban), menjadikan sesuatu bulat seperti bola”.

bumi.jpg
“Berhubung dengan ayat 5 dalam surah az-Zumar ini, Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata,”Ayat ini dengan jelas mengisyaratkan bahawa bumi ini adalah bulat seperti sfera,. Hal ini disebabkan kalimat kawwara tidak digunakan melainkan sesuatu yang bulat.”

“Satu lagi kalimat dalam al-Quran yang mengisyaratkan tentang kebulatan bumi ialah daha. Sebagai contoh, dalam surah an-Naziat ayat 30 : Allah berfirman “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (daha-ha).” Kalimat “dihamparkan” untuk menerangkan maksud kalimat “daha-ha” sebenarnya tidak memberi suatu gambaran yang jelas tentang maksud sebenar kalimat ini.”

“Hal demikian, berhubung dengan ini Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “(Penggunaan kalimat daha) menampakkan tentang mukjizat al-Quran. Hal ini disebabkan daha dalam bahasa Arab melambangkan sesuatu yang bulat seperti bola. Justeru orang-orang Arab menamakan telur burung unta (ostrich) yang ditimbus pasir sebagai udhiyyah dan udhuwwah,” terangnya.  

Tambah beliau, kalimat-kalimat udhiyyah dan udhuwwah berasal daripada kalimat daha. Justeru, apabila Allah menggunakan kalimat daha ketika menceritakan tentang kejadian bumi. Ia menampakkan bahawa bumi dicipta Allah dalam keadaan bulat seperti telur burung unta. 

Sumber : Sinar Harian, 15 Februari 2017

Leave a Reply