Pemakanan Anak- Anak Bukan Setakat Lazat Dan Berkat

Akhir – akhir ini timbul isu mengenai pemakanan dan masalah obesiti yang dihadapi oleh kanak – kanak sekolah. Dikatakan kebanyakan makanan di kantin sekolah penyumbang besar kepada masalah tersebut.

            Kerajaan mengambil langkah menetapkan jenis – jenis makanan tertentu sahaja yang boleh dijual di kantin sekolah, dengan harapan kanak – kanak sekolah tidak terdedah kepada bahaya pengambilan makanan yang kurang berzat dan menggemukkan.

            Adakah masalah obesiti atau kurang khasiat semata – mata yang patut dirisaukan ibu bapa?

            Sebenarnya, ada satu lagi perkara penting yang mesti diberi tumpuan iaitu status halal makanan itu. Sebagai ibu bapa, kita perlu mengambil berat soal pemakanan yang masuk ke dalam perut anak – anak yang kemudian menjadi darah daging mereka. Ia bukan cukup sekadar memberi makan dengan tujuan mengenyangkan perut malah yang lebih peting makanan tersebut halal dan baik (tayyibah), sebagaimana yang dituntut oleh Alllah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah apa – apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik (tayyib), dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu  ialah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al – Baqarah 2:168)

            Makanan yang baik memberi kesan yang baik kepada keturunan dan generasi akan datang termasuk anak – anak kita. Oleh sebab itu, apa yang perlu dititikberatkan dalam soal pemakanan anak – anak setiap masa ialah beberapa aspek berikut:

1. Halal

Makanan yang dimasak ataupun dimakan itu mesti halal dan tidak meragukan. Misalnya daging atau ayam, seharusnya ia dibeli di pasar – pasar pemilik dan penjualnya terdiri  daripada orang islam.

Begitu juga selain halal kita juga sedapat mungkin pastikan ia bersih di sudut syariat. Contohnya ayam sekalipun disembelih cara halal, tetapi ada juga kes cara membasuh dan membersihkannya tidak menurut syariat.

Sumber wang atau pendapatan yang diperolehi ibu bapa setiap bulan juga mestilah halal. Wang itulah kelak yang akan dibelanjakan untuk segala urusan rumah termasuklah perbelanjaan makanan. Maksud halal di sini ialah pendapatan ibu bapa hendaklah tidak bercampur dengan unsur – unsur yang haram. Misalnya pendapatan bukannya daripada hasil rasuah, menipu atau mengambil hak orang lain.

Ibu bapa yang bekerja perlu amanah dan jujur dalam kerjaya mereka. Jauhi budaya “curi tulang” ketika bekerja dengan berbual kosong atau melayari internet tanpa tujuan. Dikhuatiri hasil pendapatan yang diperolehi telah bercampur syubhah. Ia sepatutnya terhasil daripada usaha yang halal lagi berkualiti. Dengan wang tersebutlah kita memberi makan dan membesarkan anak – anak. Bagaimana jika makanan yang diberikan itu tidak halal disisi syariat?

Sumber pendapatan yang tidak halal membawa kepada tiada keberkatan dalam hidup kita. Ia memberi kesan negatif dalam banyak perkara misalnya kepada jiwa iaitu rasa tidak bahagia, selalu, resah, rasa tidak cukup dengan rezeki dan pelbagai masalah sering melanda.

Sebaliknya jika sumber itu halal, makanan halal itu membantu anak – anak tetap dalam berbuat makruf selama mereka hidup, serta berjaya di dunia akhirat.

Doa juga terhalang apabila harta dan makanan tidak halal. Ini pernah berlaku pada zaman Nabi Musa A.S, ada seorang lelaki berdoa dengan bersungguh – sungguh. Namun doanya tidak diterima oleh Allah S.W.T Nabi Musa A.S menjadi hairan mengapa terjadi demikian.

Baginda pun bertanya kepada Allah sebab doa lelaki tersebut tidak diterima. Allah menjawab bahawa di dalam perut, rumah serta pakaiannya terdapat sumber – sumber yang haram.

Inilah antara penyebab doa tidak diterima. Bukan setakat doa tidak diterima, makanan haram juga boleh menyebabkan kita dan anak – anak terseksa di neraka . Nauzubillah.

 

2. Baik (Tayyibah)

Ibu bapa perlu mengetahui asas – asas makanan yang baik untuk penyediaan makanan harian. Bukan sekadar lazat, tetapi hendaklah berzat dan baik untuk kesihatan. Mereka perlu mengetahui kandungan karbohidrat dan protein yang perlu ada dalam pemakanan anak – anak. Mereka perlu mendisplinkan pengambilan gula dan lemak supaya anak – anak tidak mengambilnya secara berlebihan. Cara pemakanan yang diamalkan secara sihat setiap hari akan diwarisi oleh cucu – cicit kita kelak.

Erti kata tayyibah juga perlu merangkumi cara penyediaan bahan makanan, cara memasak, cara menjual dan menghidangkannya. Apakah bahan – bahan mentah dicuci dengan laluan air bersih atau sekadar direndam sahaja?

Kita sering mendengar keluhan ibu bapa tentang anak –anak yang tidak mendengar nasiha, cepat panas baran,degil dan sebagainya. Sebenarnya moral anak – anak juga dipengaruhi jenis maknan yang kita sajikan setiap hari. Mungkin salah satu sebabnya kerana makanan yang disediakan tidak halal dan tidak baik.

buah.jpg

Alangkah baiknya ketika mengadun kuih atau mengacau gulai, dimulai dengan bacaan basmalah serta diiringi dengan selawat atau zikir – zikir. Doakan semoga makanan tersebut memberi kebaikan kepada tubuh anak – anak untuk rajin beribadah serta mendapat keberkatan dalam hidup.

Antara contoh penjagaan di sudut kesihatan pula, sebaik –  baiknya cara memasak yang sering disarankan oleh pakar pemakanan ialah memasak cara direbus, dibakar atau kukus. Makanan yang disediakan cara sebegini lebih segar dan dapat dikurangkan daripada penggunaan bahan yang tinggi kolesterol dan sebagainya.

 

3. Kreativiti

Ibu bapa mesti rajin memasak untuk anak – anaknya. Sama ada sedap atau tidak, usaha untuk memberikan kegembiraan atau kasih sayang melalui masakan kepada  anak – anak tidak ternilai harganya.

Kita sering mendengar ungkapan anak – anak walaupun yang sudah dewasa seperti :” Paling sedap ialah masakan emak”, “Teringat masakan emak” dan sebagainya. Walaupun masakan si ibu itu biasa – biasa sahaja, namun ia terasa enak apabila dihidangkan dengan penuh kasih sayang. Oleh sebab itu, anak – anak yang selalu memakan masakan ibu pasti selalu mengingatinya.

Ibu bapa juga perlu kreatif dalam menyediakan hidangan. Ini kerana ada antara anak – anak yang memilih – milih makanan seperti tidak suka makan sayur ataupun ikan. Mereka lebih suka menyantap hidangan ayam segera atau makanan berasaskan ayam. Ibu boleh menyediakan sup dengan berbola ikan yang dibuat sendirui. Jika tidak suka makan sayur, buatlah sayur berinti ayam atau krim lazat dan sebagainyan. Ia lebih berkhasiat dan tiada bahan pengawet. Boleh juga dihidangkan dengan hiasan dan jus buah – buahan.

halal_1_600.jpg

Makanan Halal

Pengertian halal mengikut al – Jurjani dalam kitab al – Ta’rifat mempunyai dua maksud.

  1. Merujuk kepada keharusan menggunakan benda – benda atau apa – apa yang diperlukan untuk memenuhi kerperluan jasmani seperti maknan, Minuman dan ubat – ubatan.
  2. Keharusan memanfaatkan, memakan, meminum dan mengerjakan sesuatu yang kesemuanya ditentukan berdasarkan nas.

 

 Pemakanan Seimbang Kualiti dan Kuantiti 

 

Mengurangkan Makanan ringan

 

Makanan ringan kebanyakanya mengandungi perasa tiruan berlebihan dan kandungan garam yang tinggi. Ia memberi kesan jangka panjang yang tidak baik kepada kesihatan, antaranya penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ramai para ibu yang bekerja lebih gemar menyajikan makanan segera seperti nuggets dan mi segera untuk anak – anak atas alasan faktor masa. Walhal masih ada makanan sihat yang boleh disediakan dalam masa singkat seperti roti bakar, bijiran, dan jus buah – buahan.

 

Menjauhi makanan berlemak

 

Makanan yang banyak lemak juga perlu dijauhi. Kesihatan anak – anak pada zaman 60- an berbeza dengan anak –anak masa kini. Sukar untuk melihat anak – anak dahulu yang gemuk atau menhidap penyakit kencing manis, berbeza  dengan zaman sekarang.

Mengapa?

Zaman sekarang banyak restoran makanan segera yang menyediakan makanan sedemikian.

 

Amalkan cara pemakanan Rasulullah S.A.W

 

 

  • Amalkan apa yang Rasulullah S.A.W terapkan berkaitan konsep makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  • Baginda suka mengambil makanan yang sihat misalnya minum susu kambing setiap hari kerana ia membantu membentuk tulang yang kuat. Begitu juga madu dan kimis yang boleh menguatkan minda dan sebagainya.
  • Namun jika tidak diamalkan terhadap anak – anak kita sejak kecil, mereka tidak menyukai atau memandang pelik menu tersebut.
  • Sekali – sekala anak –anak perlu dididik supaya makan dengan satu jenis lauk sahaja, supaya mereka dapat merasai kesusahan orang miskin yang tiada makanan atau tidak berlauk. Ia juga boleh mendatangkan keinsafan supaya mereka tidak membazir,sentiasa rasa bersyukur atas nikmat Allah S.W.T. Ingatkan anak –anak : makanan mewah bukan satu kemestian.

 

Artikel ini dikongsikan oleh Ustazah Rasidah Mustaffa. berkelulusan diploma dalam bidang Teknologi Pemakanan UiTM, Shah Alam. Beliau pernah menjadi editor dan kolumnis untuk majalah kanak-kanak dan majalah wanita. Di samping bidang penulisan, beliau turut meminati bidang masakan dan seni kulinari. Sehingga kini, beliau masih giat menulis di samping mengajar al-Quran kepada kaum ibu dan kanak-kanak. 

Sumber : Majalah Solusi, Isu 30