Bebas Diri Anda Dari Berhutang

Posted by

Pastikan sahaja ramai pelajar yang mengunakan pinjaman untuk membiayai pengajian. Tidak kiralah peringkat diploma, ijazah pertama atau peringkat pengajian yang lebih tinggi. Perkataan pinjaman bermakna kita sedang berhutang. Ngeri memikirkan perihal hutang tidak mampu dilangsaikan sedangkan roh dan jasad terpisah sudah.

            Tidak salah berhutang demi melanjutkan pengajian. Ada banyak saluran untuk mendapatkan pinjaman.Yang salah, melarikan diri daripada membayar hutang setelah tamat pengajian. Sangat baik jika disegerakan membayarnya ketika sudah mampu. Sebelum kita berhutang, ambillah tiga langkah ini:

  1. Fikir sebelum berhutang.
  2. Hutang untuk keperluan bukan memenuhi kehendak.
  3. Berniat untuk membayarnya.

Jangan untuk kelihatan cantik, bergaya dan diterima rakan dan orang sekeliling, kita sanggup berhabis malah berhutang. Allah mengingatkan perihal orang yang suka membazir: “Sesungguhnya orang yang boros dan membazir saudara syaitan.” (Surah Al – Isra’ 17:27)

ETIKA BERHUTANG

           Adat berhutang haruslah segera melangsaikannya. Ayuh kita perhatikan adab membayar hutang.

  1. Membayar dengan sesegera mungkin.
  2. Langsaikan hutang sebelum tamat tempoh atau tepat masa yang dijanjikan.
  3. Jika tidak mampu bayar sekali gus, bayarlah secara ansuran.
  4. Membayar lebih sebagai tanda terima kasih.
  5. Jika bermasalah untuk membayar, mintalah penangguhan dengan cara baik.
  6. Jika orang yang kita hutang meninggal dunia, bayarlah kepada warisnya.

 

MENGAPA MESTI SEGERA MEMBAYAR HUTANG?

Bukan setiap masa seorang pelajar punya banyak wang dalam dompetnya. Ada ketika, kita perlu meminjam daripada orang lain untuk suatu keperluan.Tetapi, harus diingatkan jangan sampai liat mahu membayarnya kembali. Kesannya bukan hanya kepada diri kita tetapi boleh merosakkan hubungan persahabatan.

Ketika inilah, kita seakan – akan mahu melarikan diri daripada orang yang memberi kita hutang. Bukankah ia menimbulkan rasa malu? Sudah berjanji mahu membayar kembali, tetapi sekadar berjanji yang tidak ditunaikan.

Implikasi yang lebih buruk, kita mula belajar menipu. Kononnya akan membayar segera, namun walau selepas ada wang di tangan, kita enggan membayar.

Bebagai – bagai alasan direka demi melepaskan diri daripada membayar. Sedangkan kita tidak tahu kemungkinan teman kita itu pula kesempitan dan perlukan wang.

Ketika itulah persahabatan yang selama ini jernih semakin keruh. Bermasam muka kerana hutang. Bukankah Muslim itu bersaudara? Jika ada berhutang, langsaikanlah segera. Carilah jalan untuk membayarnya.

Baca : 8 Langkah Kerja Bergaji Pun Berpahala

MENCEGAH LEBIH BAIK

Sekiranya tidak mahu merasai sakitnya berhutang, jauhkanlah diri daripada berhutang selagi berdaya. Berhutang untuk keperluan penting bukan kemahuan diri.

Terutamanya bagi seorang pelajar, harus bijak menggunakan wang untuk pengajian. Bukannya menghabiskannya untuk keseronokan diri sendiri hingga terpaksa berhutang pada hujung semester.

 JIKA PERLU MEMBERI HUTANG

Lumrah seorang pelajar, ada ketikanya ada orang perlukan bantuan kita. Sekiranya perlu memberi pinjaman kepada orang lain, berilah mengikut kemampuan diri. Ketahui juga akhlak seorang pemberi hutang.

  1. Menyediakan surat penjanjian jika melibatkan jumlah besar.
  2. Memberi tempoh untuk membayar hutang.
  3. Pastikan orang yang berhutang tidak menggunakan wang tersebut untuk perkara haram.
  4. Berdoa agar orang yang berhutang dimurahkan rezeki dan dilembutkan hatinya agar segera membayar hutang tersebut.

 

 

ELAKKAN DIRI DARIPADA BERHUTANG

 

·         Rancang masa depan

·         Rancang perbelanjaan harian

·         Menyimpan wang meskipun sedikit untuk digunakan pada masa terdesak.

·         Beli barangan yang perlu sahaja.

·         Tingkatan mujahadah jika inginkan sesuatu yang di luar kemampuan.

 

 

 

Sumber : Dato’ Siti Norbahyah Mahamood

Leave a Reply