Apabila Anak Ber’Facebook’

Islam agama mesra teknologi. Sekiranya penggunaan teknologi itu menghasilkan sesuatu yang buruk, bukanlah kerana teknologi itu sendiri. Tetapi kerana orang yang menggunakannya menyalah gunakan teknologi yang sedia ada.

Jika pandai memanfaatkan, ia dapat menjana banyak kebaikan. Namun jika penggunaanya berlebih – lebihan dan tidak terkawal, akan banyak keburukan akan tertimpa generasi muda.

Realitinya, kita tidak boleh menghalang anak – anak remaja atau yang sedang meningkatkan dewasa daripada menggunakan teknologi. Malahan guru – guru sekolah juga menggalakkan pelajar – pelajar mencari bahan – bahan atau maklumat menggunakan Internet.

Tidak dinafikan Intenet banyak membantu. Maklumat – maklumat terbaharu dan terkini mudah didapati. Persoalannya, adakah mereka terlibat dengan laman – laman social yang tidak menguntungkan?

Step By Step

Kali ini penulis ingin memfokuskan keterlibatan para remaja dengan Facebook. Walaupun  mengikut peraturan usia yang dibenarkan 18 tahun ke atas, namun ia tidak lagi dipatuhi. Anak – anak sekolah rendah juga sudah pandai berinteraksi dan berkongsi maklumat melaluinya.

Sangat mendukacitakan apabila kebanyakan mereka mudah terdedah kepada maklumat – maklumat yang tidak baik, mengelirukan minda atau membawa salah tingkah laku.

Oleh itu apa yang ibu bapa perlu lakukan ialah:

  • Beri perhatian

Ibu bapa perlu memberi perhatian setiap aktiviti anak remaja. Mereka yang kurang mendapat perhatian akan merasakan Facebook jalan keluar untuk meraih simpati atau perhatian. Pada peringkat awal, mereka mencari kawan – kawan sekadar untuk berinteraksi.

Setelah setiap hari berkomunikasi, mereka tanpa segan silu menceritakan masalah keluarga. Rasa tidak puas hati dengan ibu bapa yang terlalu cerewet, bosan dengan guru sekolah, benci kepada seseorang dan sebagainya.

Berkongsi masalah tidak salah, cuma caranya “tidak kena” apabila dibincangkan di Facebook. Adakah ibu bapa tahu?

Oleh sebab itu, setiap ibu bapa perlu sentiasa bertanya dan mendengarkan masalah anak – anak. Walau kita sibuk, carilah masa dan bukannya menunggu carilah masa. Kita yang paling kenal anak – anak kita, maka kitalah yang paling layak untuk menyelesaikan kekeliruan mereka.

  • Friend kepada anak – anak

Mungkin ada antara ibu bapa tidak  berminat dengan Facebook. Namun sekiranya anak – anak kita menggunakannya, mahu tidak mahu kita perlu mengambil tahu dan memantau mereka.

Caranya ialah kita menjadi  Friend  kepada anak – anak dalam Facebook. Ini memudahkan kita mengesan aktiviti anak – anak atau kelakuan mereka di alam maya.

Misalnya, anak – anak perempuan menyiarkan gambar – gambar tanpa menutup aurat, berpelukan dengan teman lelaki, dan sebagainya tanpa pengetahuan ibu bapa.

Kemudian ada komen – komen yang memuji – muji kecantikannya. Adakah mereka tidak sedar perbuatan sedemikian berdosa?

Mempamerkan gambar – gambar anak remaja perempuan kita sekalipun bertudung labuh atau  bertudung litup tidak digalakkan. Tanyalah diri, apakah yang diinginkan dengan berbuat demikian? Bimbang niat kita bukan lagi kerana Allah tetapi kerana yang lain.

 Facebook Bukan Untuk….

Oleh kerana terlalu ramai remaja yang terlibat dengan Facebook, marilah membimbingan mereka dan fahamkan Facebook bukanlah gelanggang:

*
  • Membuang Masa

Adakah kita cakna bahawa ramai remaja kini celik sahaja matanya terus  log in  Facebook, bukannya menjenguk ibu bapa atau adik – beradik. Mereka kurang berinteraksi dan marah jika diganggu konsentrasi Facebook. Bayangkan masa yang mereka sanggup habiskan menghadapi Facebook berbanding dengan masa belajar.

Ibu bapa mesti mengehadkan aktiviti Facebook anak – anak supaya mereka tidak termasuk dalam golongan orang yang membuang masa.

Fahamkan anak –anak bahawa komitmen mereka ketika ini belajar. Mereka ada visi dan misi yang perlu dicapai untuk menjadi manusia cemerlang.

*
  • Berdebat Perkara Tidak Perlu

Ada entri dalam Facebook yang sengaja ditulis untuk mengundang perdebatan. Anak – anak remaja perlu berhati – hati dan tidak sewenang – wenang mengeluarkan kenyataan. Paling baik biarlah menjadi pemerhati dan tidak terlibat.

Sebabnya, kita mungkin kurang ilmu tentang perbincangan tersebut. Kita tidak mengenali semua orang yang berdeba, mungkin ada yang sengaja mencetus provokasi dan kekeliruan.

*
  • Menabur Fitnah

Remaja tidak harus percaya 100 % dengan apa yang dihidangkan dalam Facebook terutama berita buruk tentang seseorang atau sesuatu kumpulan. Mungkin ia tidak benar dan sengaja disebar – sebarkan demi niat yang tidak baik. Oleh itu, berdiam diri dan tidak mengeluarkan kenyataan lebih baik walaupun kita tahu ia benar.]

*
  • Membuka Keaiban Orang lain.

Islam tidak membenarkan kita membuka aib orang. Lebih – lebih lagi dalam Facebook. Bukankah kita tidak suka jika aib diri sendiri diketahui oleh orang lain? Kita perlu mengakui setiap orang ada kelemahan dan kesilapan, maka tidak patut dipanjangkan dalam laman Facebook. Berdosa hukumnya.

Ingatkan anak – anak dan diri kita, sesiapa yang suka membincangkan aib orang lain akan diancam dengan hukuman berat di dunia dan akhirat. Iman pelindung bagi diri anak – anak kita daripada membuat kejahatan dan perkara yang sia – sia. Pentingnya sentiasa menjaga niat. Setiap sesuatu mesti bermula dengan niat yang baik.

Bagi membina iman, sejak awal lagi anak – anak perlu diberikan pendidikan kalimah tauhid, tentang adab – adab, syariat dan akhlak Islamiah. Kelak mereka akan tahu memilih mana yang baik dan mana yang tidak.  Kita juga tidak akan bimbang jika anak – anak berfacebook sewaktu ketiadaan kita. Semoga mereka menjaga maruah diri, keluarga dan maruah Islam.

Sumber : Rasidah Mustafa, Majalah Solusi