Biar Anak Kagum Dengan Kita

Posted by

Wow, abah memang hebatlah, ustaz serba boleh! Tanya sains boleh jawab, tanya matematik boleh jawab, pandai juga bidang komputer,” kata anak ketiga saya dengan penuh kagum. Cuba bayangkan perasaan seorang anak jika ditanya bapanya mata pelajaran sains, si bapa menjawab: “Entahlah, ayah dah lama ‘tinggal’, dah lupa.” Malah ditanya maksud peribahasa Melayu, si bapa menjawab: Tengoklah kamus. Ayah beli kamus mahal-mahal nak buat pekasam?”

ULANG KAJI ILMU

            Apabila sukarnya sebagai seorang bapa, kita ambil peduli pelajaran anak – anak. Luangkan sedikit masa untuk mempelajari ilmu – ilmu asas yang anak – anak kita pelajari. Tidak kiralah peringkat prasekolah, sekolah rendah atau sekolah menengah. Ilmu – ilmu yang mereka pelajari itu asas yang tidak sukar untuk kita ingat semula.

Tindakkah minat anak – anak untuk belajar akan pudar atau mati dengan sikap ibu bapa yang endah tidak endah dengan pelajaran mereka? Kesudahannya, mereka lebih gembira dengan aktiviti lain daripada menghadapi kerja sekolah. Tidakkah ini merugikan?

PELOPOR KEBAIKAN

            Ibu bapa sewajarnya menjadi “pelopor kebaikan” sebelum mengajak anak – anak melakukannya. Jika melarang dari berbuat kemungkaran, maka ibu bapa terlebih dahulu menjauhi kemungkaran tersebut. Maka tidak berlaku pertentangan ucapan dan tindakan. Pekara yang “biasa” ditunjukkan seorang bapa boleh meninggalkan kesan yang “luar biasa”. Bukan itu sahaja, ia “pelajaran” yang amat berguna dan bermakna.

            Mulakan dengan aktiviti mudah ini:

*
  • Jika ternampak sampah, kutip dan buang di dalam tong sampah.
*
  1. Apabila nampak paku di jalan, ambil dan buangkan tempat yang sesuai.
*
  • Melihat orang buta ingin melintas, pimpin hingga ke seberang jalan.

BELAJAR SEPANJANG HAYAT

            Selain itu, ibu bapa perlu menerapkan konsep “belajar sepanjang hayat”; sama ada ilmu fardu ain mahu pun fardu kifayah. Jika berkemampuan, lanjutkan pelajaran hingga peringkat tertinggi. Jika tidak mampu kita masih boleh belajar di “university terbuka”; belajar di mana – mana sahaja. Bapa sebagai ketua keluarga perlu mempamerkan sikap mementingkan ilmu pengetahuan.

Teringat pesan ayah semasa duduk semeja menemani kami belajar:

“Ayah tidak tinggalkan banyak harta. Pelajaran itulah harta peninggalan ayah kepada kamu semua. Belajarlah pandai – pandai. Harta boleh habis walaupun berjuta ayah tinggalkan. Harta kekayaan; orang boleh ambil, curi dan kianat. Tetapi ilmu semakin diguna dan diajarkan kepada orang semakin bertambah. Tidak akan habis.”

 Kemudian ayah menyambung:

“Ayah tidak berpeluang belajar tinggi. Jadi ayah hendak anak – anak ayah berpelajaran tinggi, Jadi orang pandai, orang berilmu. “Orang berilmu pandai menyesuaikan diri. Orang berilmu umpama benih yang baik. Dicampak ke laut, jadi pulau; dicampak ke darat, menjadi gunung. Pergi ke mana – mana pun dapat memberi manfaat.”

Begitulah pengorbanan seorang ayah; sanggup bersusah payah demi kebahagiaan dan kejayaan anak – anaknya. Sanggup berhujan dan berpanas untuk mencari rezeki halal, yang penting anak – anak mendapat didikan secukupnya. Walaupun ayah tidak berpelajaran tinggi, tetapi anak – anak berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“SIAPA TOKOH YANG KAMU KAGUMI”

Saya pernah bertanya kepada pelajar berkenaan tokoh yang mereka kagumi. Maka pelbagai jawapan diperoleh. Penyanyi. Tokoh politik. Ahli Sukan. Angkasawan Negara. Agak menyedihkan, tiada yang menyebut Rasulullah sebagai insan yang dikagumi. Malah, tiada juga pelajar yang “mengangkat” ibu bapa mereka sendiri . Ini menggambarkan mereka tidak dapat melihat, merasai dan menyakini bahawa ibu bapa mereka insan yang dikagumi dan boleh menjadi contoh dalam kehidupan. Ibu bapa tidak lagi dipandang tinggi oleh anak – anak.

            Keadaan ini disokong dengan kenyataan hidup hari ini yang mana anak – anak  tidak lagi menghormati ibu bapa. Biadab dan menderhaka. Bahasa yang digunakan kasar dan tidak beralas. Malah ada anak-anak yang sanggup mencederakan dan membunuh ibu bapa sendiri. Fenomena ini amat membimbang, Meresahkan dan dukacitakan.

Jika anak-anak tidak melihat ibu bapa sebagai insan yang dikagumi, maka sukarlah ibu bapa untuk menasihati, membimbing dan memotivasikan anak-anak. Puncanya, kredibiliti ibu bapa di mata anak-anak lebih rendah berbanding dengan orang lain yang dipilih sebagai model ikutan. Akhirnya, kata – kata ibu bapa “masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”.

            Saban hari hari anak-anak melihat dan terdedah dengan perlakuan ibu bapa di rumah. Mereka melihat kelemahan ibu bapa mereka. Ada ketikanya ibu bapa hanya pandai bercakap dan memberi nasihat tetapi mereka tidak melaksanakannya; ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ini semua mengurangkan rasa hormat dan kekaguman anak terhadap ibu bapa mereka.

Ingatlah amaran Allah: “Wahai orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah Al-Saf 61:2-3)

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

Ibu bapa perlu memliki kredibiliti yang tinggi supaya mampu menjadi “model” yang dikagumi anak-anak. Kesannya, ibu bapa akan dicontohi. Nasihat dan teguran didengar. Suruhan diikuti dan hukuman diterima dengan dada yang terbuka. Anak-anak akan mentaati perintah ibu bapa dengan rela hati, penuh minat dan kesedaran yang tinggi.

Menyedari kekuatan “kepimpinan melalui teladan” mendorong ibu bapa mendidik anak menggunakan konsep ini. Menukarkan “cakap tidak serupa bikin” kepada “cakap  serupa bikin”. Pendidikan melalui teladan bukan paksaan. Anak – anak lebih percaya apa-apa yang dilihat daripada apa- apa yang didengar.

Akhirnya, anak-anak akan hormat dan kagum terhadap ibu bapa. Mereka mencontohi ibu bapanya walaupun bukan bergelar ustaz atau ustazah tetapi mampu mengajar mereka mengaji al-Quran, mahir tentang tajwid, mantap ilmu-ilmu agama dan fasih berbahasa Arab. Mereka pasti memuji: “Wow, ayah cakap arab ‘berhabuk’, kalah orang Arab!”

AUDIT DIRI!

Anak – anak gembira apabila……. Bukanya…..
Ibu dan bapa ada di sisi ketika mereka belajar Menyuruh anak belajar, tetapi ibu bapa:   Menonton televisyenTidurMembuat kerja yang tidak berfaedah.
Membimbing mereka menyiapkan kerja sekolah
Memberikan kata-kata semangat
Membelai mereka dengan belaian kasih sayang.

Sumber : Roslan Yasnain, Majalah Solusi

Leave a Reply