Mahukah Jadi Penipu??

Percakapan dusta. Status Facebooknya palsu. Janjinya tidak ditepati. Cerita yang dikongsinya tidak benar! Inilah golongan yang diisytiharkan oleh Rasulullah sebagai penipu, bersumberkan hadis: 

“Cukuplah seseorang dianggap sebagai penipu apabila dia menyampaikan semua perkara yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Dalam kitab Syarh Sahih Muslim, Imam Nawawi menyatakan bahawa hadis ini mengandungi larangan menyampaikan setiap perkara yang didengari. Kebiasaannya, akan ada perkara yang benar dan tidak benar. Maka sekiranya dia menyampaikan semuanya, pasti akan termasuk perkara yang tidak benar. Oleh itu, setiap maklumat yang diterima mestilah disemak dan dipastikan kesahihannya sebelum dikongsi dengan orang lain.

Maklumat Itu Amanah

            Dalam Islam, penyampaian maklumat itu satu amanah. Bahkan ia akan dicatat oleh para malaikat. Malah setiap individu yang menyampaikannya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Para pembaca berita, pencetak dan pekerja media mestilah sentiasa berwaspada dengan peringatan Allah ini:

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf 50:18)

Catatan ini tidak terhad pada percakapan sahaja, bahkan ia meliputi medium perkongsian maklumat terkini seperti SMS, Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Orang Mukmin sentiasa berwaspada dengan penulisannya kerana memahami bahawa semuanya di bawah pengawasan Allah. Bahkan kesan negative penyebaran berita  – berita yang tidak benar ini boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat sehingga ada yang dipecat daripada jawatan, pergaduhan, peceraian dan pelbagai lagi kesan negatif.

“Aku Orang Pertama Tahu…….”

            Ada juga dalam kalangan umat Islam yang ingin menunjukkan bahawa dirinya orang paling awal mendapat sesuatu maklumat. Lalu, terus dikongsinya maklumat itu tanpa meneliti kebenaran perkara tersebut. Akibatnya tersebarlah berita – berita tidak benar seperti kematian orang ternama, isu – isu politik, gosip – gosip artis dan perkara – perkara “panas” lain yang cukup diminati oleh masyarakat.

            Ia menjadi satu budaya baharu yang membimbangkan dan boleh menyebabkan hilang kepercayaan sesama sendiri. Budaya ini perlu dibanteras sebelum ia berakar umbi dalam masyarakat. Bahkan Rasulullah menegaskan, ini dikira sebagai suatu penipuan. Sekiranya dia seorang peniaga, maka dia peniaga yang menipu. Sekiranya dia seorang ahli politik, maka ia ahli politik yang menipu. Sekiranya dia seorang pelajar, maka ia pelajar yang menipu.

Pastikan Sahih, Baru Sebar

            Allah mengajarkan suatu panduan penting dalam menerima dan menyampaikan sesuatu berita menerusi firman-Nya: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak mengenakan sesuatu kaum dengan kejahilan sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”(Surah Al – Hujurat 49:6)

            Ayat ini dimulakan dengan seruan kepada orang yang beriman. Ini menunjukkan hanya orang beriman yang akan prihatin dengan peringatan supaya memastikan kesahihan setiap berita yang diterima. Amat membimbangkan sekiranya seseorang tidak cakna perkara ini, ia petanda imannya dalam keadaan lemah.

            Ramai yang menyesal setelah gopoh mengambil tindakan sebelum meneliti kebenaran maklumat yang sampai kepadanya. Tetapi penyesalan selepas kepadanya. Tetapi penyesalan selepas tersilap mengambil tindakan tidak dapat mengubah kesan buruknya.

Pastikan Sumbernya!

Apabila melibatkan penyampaian sesuatu maklumat  yang disandarkan kepada Allah atau Rasullah, maka disiplinnya lebih tegas. Setiap ungkapan  yang ingin disandarkan kepada kedua – duanya wajib dipastikan ia benar – benar daripada sumbernya. Rasulullah memberi amaran yang keras kepada golongan yang mereka – reka hadis lalu disandarkan kepada Baginda: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka tempahlah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat al – Bukhari dan Muslim).

            Maka sebelum seseorang ingin berkongsi hadis di Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya, rujuklah dahulu kesahihan hadis-hadis tersebut sama ada dalam kitab-kitab muktabar ataupun guru-guru yang mursyid. Saya tidak bermaksud menghalang usaha murni untuk menyebarkan hadis-hadis Rasulullah, tetapi mengharapkan agar setiap orang menjaga adab dan disiplin dalam melaksanakannya. Moga-moga kita tidak tersenarai sebagai penipu atau penempah tiket ke neraka. Niat yang baik perlu dilakukab dengan baik hanyalah yang berpandukan ajaran Allah dan rasul-Nya.

Jika Sampai Fitnah Kepadamu…..

Dalam peristiwa hadis al – ifk selepas peperangan Bani al – Mustaqil, ada kalangan sahabat yang terpengaruh dengan berita palsu tersebut sehingga terlepas cakap mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah telah berzina. Mereka akhirnya dijatuhkan hukuman qazaf, iaitu kesalahan menuduh berzina tanpa membawa empat orang saksi. Peristiwa ini amat pedih untuk dihadapi kerana ia berkait dengan rumah tangga Rasulullah sendiri.

           Ia juga hampir menyebabkan pergaduhan antara para sahabat apabila golongan munafikin sentiasa menyimbahkan minyak ke dalam api setiap kali mendapat peluang melaga – lagakan golongan Mukmin. Suatu perkara yang menarik ialah apabila Allah menurunkan ayat “membersihkan” Aisyah daripada tuduhan tersebut. Disamping itu Allah juga menegur golongan Mukmin agar tidak menyebarkan sesuatu berita sebelum memastikan kebenarannya.

            Firman Allah: “Ingatlah ketika kamu bercakap-cakap menyebarkan berita itu dengan lidah dan mulutmu, dalam keadaan tidak mengetahui kebenaran perkara tersebut. Kamu menggangapnya perkara kecil (menyebarkan cerita tentang Aisyah) sedangkan ia di sisi Allah amatlah besar (dosanya).” (Surah al- Nur 24:15)

            Allah juga memuji tindakan Abu Ayub al – Ansari kerana sifatnya yang tidak mudah mempercayai fitnah tersebut lalu menasihati isterinya agar berfikir dan mencari kepastian terhadap kebenaran berita yang sedang tersebar.

Sumber : Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, Majalah Solusi